Dilema: Bahan api atau keterjaminan makanan?

Dilema: Bahan api atau keterjaminan makanan?

JIKA Malaysia ingin mengelakkan perangkap “bahan api atau sumber makanan”, perlunya biofuel generasi kedua dan sumber berasaskan sisa yang tidak bersaing dengan makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERALIHAN Malaysia ke arah penggunaan biodiesel yang lebih tinggi sekali lagi menghidupkan perdebatan “bahan api atau sumber makanan”.

Dengan pelaksanaan program B15 yang dijadualkan bermula Jun ini, kerajaan jelas menunjukkan komitmen untuk memperkukuh peranan biofuel berasaskan sawit dalam campuran sumber tenaga negara.

Secara teorinya, langkah ini kelihatan praktikal: Ia berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada diesel import, menyokong harga minyak sawit, serta memperkukuh pendapatan luar bandar.

Namun di sebalik keyakinan dasar ini, wujud persoalan yang telah didebatkan sekian lama, sejauh mana sumber pertanian boleh dimanfaatkan sebelum aspirasi tenaga mula menjejaskan keterjaminan makanan di Malaysia?

Hujah yang menyokong peranan biodiesel bukanlah sesuatau yang lemah. Dalam suasana harga minyak global yang tidak menentu dan ketidakstabilan geopolitik, mempelbagaikan sumber tenaga adalah langkah yang rasional.

Malaysia, sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan kelebihan ini.

Penggunaan biodiesel yang lebih meluas juga mewujudkan permintaan domestik yang mampu menstabilkan pasaran minyak sawit, sekali gus melindungi pekebun kecil daripada turun naik harga global.

Kerajaan turut menekankan penggunaan produk sampingan seperti enap cemar sawit sebagai bahan mentah, satu usaha untuk menggambarkan biodiesel sebagai lebih cekap dan lestari.

Namun begitu, cita-cita dasar sering mendahului realiti pelaksanaan. Persoalan mula timbul sama ada infrastruktur sedia ada mampu menyokong peningkatan campuran biodiesel melebihi B15.

Untuk beralih kepada B20 atau bahkan B50 seperti yang dibayangkan, ia memerlukan lebih daripada sekadar kehendak politik, ia menuntut rantaian bekalan yang kukuh, kemudahan pengadunan yang dinaik taraf, serta jaminan bekalan bahan mentah yang konsisten.

Tanpa semua ini, sasaran yang ditetapkan berisiko kekal sebagai aspirasi semata-mata. Lebih penting lagi, implikasi yang lebih luas tidak boleh diketepikan. Perdebatan “bahan api atau sumber makanan” bukan sekadar teori, ia melibatkan pertukaran sumber yang nyata.

Tanah, air dan tenaga kerja yang digunakan untuk tanaman biofuel adalah sumber yang sama boleh digunakan untuk pengeluaran makanan.

Walaupun Malaysia tidak berdepan kekurangan makanan yang kritikal, negara tetap terdedah kepada tekanan kenaikan harga makanan.

Apabila dasar tenaga terlalu berkait dengan komoditi pertanian, ia membuka ruang kepada ketidaktentuan baharu, di mana turun naik harga minyak sawit boleh memberi kesan limpahan kepada kos makanan.

Dimensi alam sekitar juga terus menjadi persoalan yang membimbangkan. Pertambahan penerokaan ladang kelapa sawit bagi memenuhi permintaan biodiesel berpotensi meningkatkan tekanan terhadap guna tanah, dengan implikasi kepada hutan dan biodiversiti.

Walaupun pensijilan kelestarian dan amalan baik semakin diperkukuh, konflik antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Ini tidak bermakna biodiesel adalah langkah yang salah. Sebaliknya, ia menuntut pendekatan yang lebih seimbang dan berhati-hati.

Jika Malaysia ingin mengelakkan perangkap “bahan api atau sumber makanan”, tumpuan perlu diberikan kepada biofuel generasi kedua dan sumber berasaskan sisa yang tidak bersaing dengan makanan.

Pada masa yang sama, ketelusan amat penting, data jelas mengenai kapasiti pengeluaran, bekalan dan kos perlu menjadi asas kepada setiap peluasan dasar. – UTUSAN

AHMAD NIZAM CHE KASIM
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN