Sungai Lang zon industri perikanan Selangor

Sungai Lang zon industri perikanan Selangor

Zon industri perikanan
AMIRUDIN Shari (kiri) meninjau kawasan seluas 242.8 hektar yang akan dijadikan Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS), pada majlis pelancarannya di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kawasan seluas 242.8 hektar dekat Sungai Lang di sini akan dijadikan sebagai Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) yang merupakan antara langkah pengukuhan keterjaminan makanan di negeri ini.

Malah, langkah strategik itu juga dijangka mewujudkan peluang ekonomi baharu di wilayah utara Selangor dalam pemerkasaan ekonomi biru menerusi pembanguan industri perikanan moden.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menyasarkan pembangunan ZIPS secara berfasa itu dalam tempoh lima tahun melibatkan fasa satu dan dua sebelum nilaian sebenar ekonominya dapat diketahui.

“Pada peringkat awal, pembangunannya memerlukan perbelanjaan sekitar RM100 hingga RM200 juta yang akan diuruskan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bersama rakan-rakan kongsi yang melibatkan pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.

“Dalam masa sama kita akan cetuskan minat serta tumpuan dalam kalangan pelabur dan pemain-pemain industri. Sebab itu kita sekarang lebih kepada perancangan kerana kawasan itu luas melibatkan 600 ekar (242.8 hektar),” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran ZIPS di sini, hari ini.

Beliau menambah, kawasan tersebut merupakan tapak cadangan pembangunan institusi pendidikan namun dijadikan sebagai ZIPS yang lebih berdaya ekonomi dan memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

ZIPS bakal mewujudkan ekosistem industri perikanan yang merangkumi aktiviti akuakultur marin dan air tawar, pemprosesan hasil laut, logistik dan kemudahan rantaian sejuk beku serta penyelidikan dan inovasi.

Malah, kedudukan kawasan Sungai Lang yang berhampiran dengan jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang adalah strategik dan meningkatkan kecekapan akses logistik ke pasaran domestik.

Amirudin memberitahu, ZIPS sebagai fasiliti pelengkap kepada zon pendaratan ikan di Sekinchan yang sedang dibangunkan di samping perindustrian hiliran sedia ada di kawasan Hutan Melintang, Bagan Datuk.

“Tiada pendaratan ikan di kawasan ini kecuali di Air Tawar, Sekinchan serta Bagan Datuk. Sebaliknya ia menjadi industri pemprosesan perikanan untuk dijadika pelbagai produk terutama makanan.

“Justeru, ZIPS bakal memiliki ekosistem yang lengkap sebagai sebuah perindustrian dengan kemudahan-kemudahan sedia ada dan digabungkan dengan sektor logistik. Jadi, untuk pemprosesan tidak lagi perlu hantar ke tempat yang jauh seperti Kuala Lumpur atau Teluk Intan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN