KUANTAN: Penubuhan Madani Mart oleh Yayasan Madani tidak sama dengan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kerana konsep dan pelaksanaannya adalah berbeza.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, penubuhannya tidak melibatkan dana daripada kerajaan sepertimana KR1M.
“Jika dulu KR1M, kerajaan mengeluarkan dana tetapi bagi Madani Mart langsung tidak melibatkan dana daripada kerajaan.
“Madani Mart dibangunkan untuk memastikan barangan keperluan harian kekal mampu milik dan mudah diakses. Ia juga membuka ruang kepada komuniti dan usahawan tempatan untuk turut serta dalam rangkaian kedai ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Pelancaran Madani Mart pertama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Indera Mahkota 8 di sini, hari ini.
Yayasan Madani adalah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang bebas selaras prinsip dan nilai Madani serta seiring dengan dasar pembangunan negara.
Bagi memperluas capaian, Yayasan Madani menyasarkan sekurang-kurangnya satu Madani Mart di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan sasaran minimum 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.
Fuziah berkata, KPDN berperanan sebagai rakan strategik dalam memastikan ekosistem peruncitan yang lebih adil, telus dan mampan dapat direalisasikan.
Beliau berkata, KPDN terus menyokong dan memperluas pelaksanaan inisiatif seperti Jualan Rahmah yang boleh digerakkan melalui platform seperti Madani Mart bagi memastikan rakyat mendapat manfaat harga yang lebih berpatutan.
“Usaha ini bukan sekadar perancangan tetapi telah menunjukkan keberhasilan yang ketara. Sehingga 31 Mac 2026, sebanyak 7,277 siri Jualan Rahmah Madani dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 2,430 program dalam premis, 262 program luar premis dan 4,606 program bergerak,” katanya. – UTUSAN










