KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Madani Mart cawangan Indera Mahkota 8, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini sebagai antara inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan menangani cabaran kos sara hidup secara menyeluruh.
Pengurus Operasinya, Lutfi Mohd. Arifin berkata, inisiatif oleh Yayasan Madani itu adalah konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai berteraskan slogan Kedai Runcit Harga Rahmah.
“Pendekatan ini menekankan prinsip keterjangkauan, kebolehcapaian dan keadilan harga selaras aspirasi Ekonomi Madani serta nilai-nilai teras Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dalam memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
“Melalui strategi pembelian pukal dan kerjasama bersama pengedar, Madani Mart menawarkan pelbagai barangan asas termasuk beras, minyak masak, gula, tepung, barangan sejuk beku serta produk penjagaan diri pada harga yang lebih kompetitif.
“Inisiatif ini turut membuka peluang kepada usahawan tempatan melalui model pelesenan yang komprehensif. Yayasan Madani bertindak sebagai pemberi lesen dengan menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi latihan, bimbingan dan bantuan operasi bagi memastikan setiap premis beroperasi secara cekap dan mampan,” katanya pada majlis perasmian Madani Mart oleh Perdana Menteri, hari ini.
Yayasan Madani adalah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang bebas, selaras prinsip dan nilai Madani serta seiring dengan dasar pembangunan negara.
Lutfi berkata, bagi memperluas capaian, Yayasan Madani menyasarkan sekurang-kurangnya satu Madani Mart di setiap kawasan DUN, dengan sasaran minimum 640 premis di seluruh negara dalam tempoh dua tahun. – UTUSAN










