Lelaki bergurau bawa bom dalam pesawat AirAsia ditahan

Lelaki bergurau bawa bom dalam pesawat AirAsia ditahan

UNIT Pemusnah Bom Polis Wilayah Krabi memeriksa bagasi penumpang sebuah pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi, Thailand selepas seorang lelaki bergurau mengatakan ada bom di dalam begnya. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRABI (THAILAND): Tindakan seorang lelaki yang bergurau membawa bom dalam bagasi menyebabkan sebuah pesawat AirAsia FD 4401 menangguhkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi ke Suvarnabhumi Bangkok, lebih empat jam, Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 4.47 petang itu, seorang pramugari yang sedang menyusun beg di tempat meletak bagasi diingatkan seorang penumpang supaya berhati-hati kerana ‘ada bom di dalam bagasinya.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Krabi, Thanisara Singakul berkata, penumpang terbabit kemudian mengulangi­nya dan meminta supaya pramugari tersebut berhati-hati kerana dalam bagasi itu mempunyai bom.

Katanya, pramugari berkenaan kemudian melaporkan perkara itu kepada juruterbang yang kemudian mengemudi pesawat tersebut kembali ke kawasan parkir 14 sebelum mengarahkan semua penumpang turun.

Ujarnya, kejadian itu kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang sebelum sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom Polis Wilayah Krabi tiba untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat dan bagasi semua penumpang.

“Pemeriksaan itu mengambil masa beberapa jam, tetapi tiada objek mencurigakan ditemukan. Polis kemudian menahan lelaki berusia 45 tahun berasal dari Wilayah Chonburi untuk siasatan lanjut.

“Ketika disoal siasat, penumpang berkenaan mengaku mengeluarkan kenyataan itu hanya sekadar untuk bergurau. Dia dibawa ke Balai Polis Nuen Khlong, Krabi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Thanisara berkata, pesawat itu kemudian dibenar berlepas pada pukul 9 malam, mengakibatkan kelewatan kira-kira 4 jam 15 minit daripada waktu penerbangan yang dijadualkan.

Katanya, adalah satu pelanggaran Akta Kesalahan Navigasi Udara B.E. 2558 (2015), yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM24,469.90 atau kedua-duanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×