PUTRAJAYA: Seramai 228,961 warga asing direkodkan mendaftar Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) membuktikan perkembangan positif setakat ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada jumlah itu, seramai 204,523 individu telah pulang ke negara asal masing-masing sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menurutnya, warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi penyertaan program itu, diikuti beberapa negara lain.
“Program ini turut menyumbang hasil signifikan kepada kerajaan dengan kutipan mencecah RM114.6 juta,” katanya di sidang media Operasi Penguatkuasaan JIM di sini, hari ini.
Katanya, JIM telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan PRM 2.0, namun keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan.
“Sebarang keputusan lanjut akan diumumkan oleh menteri berkaitan dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan program berkenaan yang dijadualkan berakhir pada 30 April ini masih dalam pertimbangan kementerian sama ada untuk diteruskan atau ditamatkan selepas tempoh itu.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, program pengampunan pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara sukarela itu dilaksanakan khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Melalui program berkenaan, individu terbabit dikecualikan daripada tindakan pendakwaan serta ditawarkan kompaun berdasarkan kesalahan yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, sambutan terhadap PRM 2.0 meningkat ketara menjelang penghujung tempoh pelaksanaan selepas melalui fasa awal yang agak perlahan.
Katanya, situasi itu menyebabkan pejabat imigresen di seluruh negara kini dipenuhi warga asing yang ingin menyertai program berkenaan.
“Bagaimanapun, pihak JIM menetapkan had pemprosesan harian, sekali gus menyebabkan ada yang terpaksa menunggu giliran,” katanya. – UTUSAN










