PETALING JAYA: Sebarang krisis melibatkan institusi adat atau Undang Negeri Sembilan (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959) sedang ditangani melalui saluran dan proses yang sah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bagi membincangkan situasi semasa yang melibatkan institusi Raja serta pentadbiran kerajaan negeri, malam tadi.
“Saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus malam tadi bagi membincangkan perkembangan melibatkan institusi Raja dan pentadbiran Kerajaan Negeri, selain menjunjung kasih atas kebijaksanaan Duli Tuanku dalam menangani perkara ini.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan yang melibatkan institusi Undang sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan Undang.
“Dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi Raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi Raja dan undang-undang negeri.
“Kemenakan beraja ke mamak, mamak beraja ke muafakat, muafakat beraja kepada kebenaran, dan kebenaran itu berdiri sendiri,” katanya.
Beliau turut menyokong titah Tuanku Mukhriz agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.
Jelasnya, ia memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya.- UTUSAN








