Kerajaan perkasa langkah tangani krisis bekalan global, kos sara hidup

Kerajaan perkasa langkah tangani krisis bekalan global, kos sara hidup

ANWAR Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Bil.8/2026 di Perdana Putra, Putrajaya. - Pejabat Perdana Menteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menyeluruh bagi menangani krisis rantaian bekalan global, bahan mentah serta peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing susulan konflik di Asia Barat.

Perkara itu dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan kerajaan dalam mengurus situasi tersebut dilaksanakan secara berfasa dengan berpandukan data selain melibatkan libat urus bersama pihak industri serta tindakan segera di lapangan.

“Keutamaan kerajaan bukan sekadar menstabilkan harga, tetapi memastikan bekalan asas kekal terjamin serta mengurangkan impak lonjakan kos mendadak kepada rakyat.

“Mesyuarat berkenaan memberi fokus kepada lima keutamaan utama iaitu menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos terhadap rakyat, memastikan projek penting tidak terbengkalai, melindungi pekerjaan serta pendapatan isi rumah dan memperkukuh daya tahan ekonomi jangka Panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, MTEN turut meneliti pembentangan oleh Khazanah Nasional Berhad berhubung implikasi krisis bekalan global yang kini mempengaruhi pertimbangan pelabur.

Katanya, pelabur kini lebih menitikberatkan aspek kestabilan tenaga, akses kepada bahan mentah serta keupayaan sesebuah negara dalam mengurus kejutan ekonomi.

“Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk bertahan, namun kekuatan ini mesti diterjemahkan kepada tindakan yang tersusun dan tegas.

“Dengan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang terus diperkasa, kerajaan yakin negara mampu mengekalkan kestabilan, melindungi rakyat serta bangkit dengan lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran ekonomi global,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN