PETALING JAYA: Belanjawan 2027 perlu mengutamakan pembangunan industri bernilai tinggi dengan mengukur kedalaman rantaian bekalan tempatan, bukan sekadar mengejar jumlah kemasukan pelaburan asing (FDI).
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tumpuan perlu diberikan kepada sektor bernilai tambah tinggi seperti semikonduktor, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan berdaulat, selain makanan serta aeroangkasa.
“Dalam semikonduktor, kita perlu bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada reka bentuk litar bersepadu (IC) dengan gaji kira-kira RM10,000 dan bukannya RM1,800, manakala dalam peralihan tenaga, fokus perlu diberikan kepada bateri dan kenderaan elektrik (EV).
“Bagi AI, Malaysia tidak seharusnya sekadar menyediakan tanah untuk pusat data, sebaliknya membangunkan keupayaan AI Awan Berdaulat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keberkesanan pelaburan juga perlu diukur berdasarkan jumlah bahan dan perkhidmatan tempatan yang dibeli serta sejauh mana ia memperdalam rantaian bekalan domestik, bukannya semata-mata berdasarkan nilai FDI.
Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Aimi Zulhazmi berkata, keutamaan bukan hanya pemberian geran tetapi mewujudkan struktur kos yang lebih boleh diramal bagi membolehkan perniagaan merancang pelaburan serta automasi.
“Antara cadangan ialah cukai korporat berperingkat 15 peratus, 17 peratus dan 24 peratus seperti dicadangkan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), supaya PKS boleh menyimpan sebahagian keuntungan untuk automasi.
“Pembiayaan pada kadar dua hingga empat peratus yang diluluskan dalam tempoh 14 hari juga boleh membantu, selain bantuan secara pakej yang merangkumi mesin, integrator dan latihan, bukannya mesin sahaja,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan juga perlu menjalankan penilaian kos kumulatif sebelum memperkenalkan peraturan baharu bagi memastikan pertambahan kos pematuhan tidak menjejaskan daya saing PKS.
Beliau berkata, perbelanjaan perlu disalurkan kepada projek yang mempunyai kesan pengganda ekonomi tinggi, berikutan ruang kerajaan semakin terhad dengan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.5 peratus.
Katanya, rasionalisasi subsidi bersasar seperti BUDI95 pada harga RM1.99 dan struktur tarif elektrik dengan ambang penggunaan 800 kilowatt-jam (kWj) merupakan contoh pendekatan yang boleh melindungi majoriti rakyat sambil mengurangkan tekanan fiskal.
“Perbelanjaan pula perlu diberikan kepada projek dengan kesan pengganda tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), reka bentuk IC dan grid hijau, yang berpotensi menarik pelaburan swasta susulan perbelanjaan kerajaan.
“Pada masa sama, kutipan hasil perlu dibuat dengan lebih cekap, termasuk mempertimbangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar rendah tiga peratus sebagai alternatif kepada struktur Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang bertindih,” katanya.
Mengulas mengenai perumahan, Aimi Zulhazmi berkata, isu yang dihadapi golongan belia dan M40 bukan hanya berkaitan harga rumah, tetapi turut melibatkan keperluan deposit serta lokasi kediaman yang berhampiran dengan tempat kerja.
Beliau mencadangkan pelaksanaan skim sewa untuk memiliki atau rent-to-own secara besar-besaran, dengan sebahagian bayaran sewa dikira sebagai deposit pembelian rumah.
“Sebagai contoh, sebanyak 70 peratus daripada sewa RM1,000 boleh dikira sebagai deposit, manakala Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) diperluaskan sehingga RM500,000 bagi golongan M40.
“Kerajaan juga boleh memberikan rebat cukai sewa sehingga RM3,000 kepada belia berusia 25 hingga 30 tahun serta membina rumah mampu milik berhampiran kawasan pekerjaan seperti Kulim, Tanjung Malim dan Nusajaya,” katanya. – UTUSAN











