KUALA LUMPUR: Aktiviti ‘junk journal’ dan penghasilan penanda buku di reruai Kelah Suri mengangkat peranan suri rumah dalam memupuk budaya membaca dalam keluarga melalui pendekatan interaktif sempena Kota Baca 2026.
Presiden Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), Siti Nur Farhana Miskom berkata, inisiatif itu dibawa ke Kota Baca bagi menekankan bahawa suri rumah memikul tanggungjawab besar dalam membentuk tabiat membaca anak-anak bermula dari rumah.
Menurutnya, budaya membaca tidak boleh dipisahkan daripada peranan ibu kerana suri rumah dianggap ‘tiang’ keluarga yang mempengaruhi suasana pembelajaran dan pembudayaan ilmu di rumah.
“Kalau ibu membaca, anak-anak juga akan membaca. Kalau budaya itu tidak bermula dari rumah, sukar untuk ia dibawa ke luar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Nur Farhana berkata, SRR merancang memperluaskan inisiatif Kelah Suri ke negeri-negeri lain sebagai usaha mendekatkan aktiviti berasaskan ilmu kepada lebih ramai suri rumah dan keluarga.
Beliau berkata, pendekatan kreatif seperti itu diharap membantu menjadikan budaya membaca lebih dekat dengan masyarakat, khususnya bermula dari institusi keluarga.
Dalam pada itu, seorang peserta, Chin Celine, 55, berkata, dia tertarik menyertai aktiviti berkenaan kerana melihat junk journal sebagai pengalaman baharu yang menyeronokkan selepas pertama kali mencubanya.
Katanya, aktiviti seperti itu membuktikan minat membaca boleh dipupuk melalui aktiviti santai dan tidak semestinya terhad kepada pembacaan konvensional semata-mata, malah boleh bermula daripada jurnal, seni visual dan eksplorasi idea.
Seorang pelajar, Aatifa Ghani, 16, pula berkata, pendekatan berasaskan aktiviti seni seperti itu sesuai menarik minat remaja terhadap pembacaan, selain menjadi alternatif kepada kebergantungan generasi muda terhadap gajet melalui pendekatan lebih kreatif.
Rakannya, Zunnur Khalisdamia Mohamed, 16, pula berkata, penggunaan elemen visual seperti stiker dan ayat motivasi dalam aktiviti itu membantu menjadikan pembacaan lebih dekat dengan generasi muda. – UTUSAN










