Ini bukan masa berebut kuasa - PM

Ini bukan masa berebut kuasa – PM

ANWAR Ibrahim berucap pada Program Temu Anwar di Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan perlu mengutamakan keharmonian dan kestabilan negara ketika ini bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelesaian terhadap krisis politik di Negeri Sembilan dijangka tidak mudah dan memerlukan pendekatan berhemah.

Beliau berkata, kini bukan masa yang sesuai untuk mencetuskan pertelagahan atau perebutan kuasa memandangkan negara sedang berdepan cabaran ekonomi semasa.

Katanya, perkembangan seterusnya berkaitan isu tersebut perlu diserahkan kepada institusi Diraja dan undang-undang di negeri itu.

“Apa yang berlaku berikutnya itu terserah kepada keadaan dan diputuskan oleh Negeri Sembilan dan Undang. Jadi tidak adil untuk dihukum dan diambil keputusan terburu-buru untuk menidakkan dan menimbulkan ketidakstabilan politik di Negeri Sembilan.

“Ini kerana pilihan yang ada pada Menteri Besar adalah menjaga kepentingan negeri, menghormati dan memuliakan institusi Raja.

“Pada saya, kita perlu kekalkan keharmonian. Negara sedang berdepan isu ekonomi dan krisis global, ini bukan masa untuk bertelagah atau berebut jawatan,” katanya kepada pemberita selepas Program Temu Anwar dan Peluncuran Bangunan Baharu Kampus Universiti UCSI di Hotel Le Quadri, hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut memaklumkan bakal mengadakan pertemuan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan perkembangan krisis di Negeri Sembilan.

Semalam, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu. 

Susulan itu, Aminuddin dilaporkan berkata, beliau akan meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri biarpun 14 ADUN BN menarik sokongan kepadanya sebagai kerajaan minoriti. 

UMNO dan BN Negeri Sembilan pula memaklumkan sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri bersama sokongan lima ADUN. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN