PETALING JAYA: Individu yang membuat hantaran menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial menggunakan akaun palsu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dapatan itu dikenal pasti susulan siasatan awal terhadap kes tersebut.
Beliau berkata, keterangan seorang lelaki dirakam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), namun individu berkenaan menafikan memuat naik kandungan terbabit.
“Pada waktu ini, MCMC sedang bekerjasama dengan platform Meta serta polis untuk menjalankan analisis forensik bagi mengesahkan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam penafian itu,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, laporan polis sudah diterima berkaitan dengan insiden itu, kertas siasatan sudah dibukakan dan siasatan dijalankan.
Menurutnya, kes tersebut sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman ekoran darjah keseriusannya.
Semalam, Ahli Dewan Diraja Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan segera berhubung tindakan biadab itu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, antara fokus siasatan adalah untuk menentukan sama ada wujud elemen akaun palsu atau tindakan ‘agent provocateur’ yang sengaja mencipta akaun bagi menyebarkan kandungan sensitif.
Katanya, modus operandi itu berpotensi memangsakan pihak lain selain mencetuskan kemarahan awam terhadap isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Isu ini masih dalam penelitian dan kita serahkan kepada MCMC serta polis untuk membuat kenyataan lanjut selepas siasatan lengkap.
“Sebarang tindakan atau hukuman hanya akan ditentukan selepas siasatan selesai dan pihak yang benar-benar bertanggungjawab dikenal pasti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang belum disahkan, kerana ia boleh menjejaskan siasatan.-UTUSAN










