Himpunan Alam Melayu capai sembilan deklarasi 

Himpunan Alam Melayu capai sembilan deklarasi, antaranya gesa umat Islam bersatu pertahan kuasa politik

AHMAD Samsuri Mokhtar menyampaikan pidato aluan dalam program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Para pemimpin, ulama, sarjana dan tokoh masyarakat dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam yang bersidang di Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 sejak tiga hari lalu di pekarangan Kompleks Sukan Negeri di sini, mencapai sembilan deklarasi iaitu:

1. Meyakini bahawa Islam adalah asas perpaduan ummah yang berpaksikan keadilan, kesederhanaan dan kebenaran bagi menjamin kesejahteraan sejagat merentasi bangsa, budaya dan geografi.

2. Menggesa semua pemimpin, parti politik dan pertubuhan umat Islam supaya bersatu bagi menjamin kuasa politik umat Islam.

3. Memastikan pemimpin yang dilantik adalah dalam kalangan individu yang bertakwa, berintegriti dan kompeten bagi menjamin kesejahteraan ummah.

4. Menyokong Risalah Amman yang memperakui bahawa pengikut kesemua lapan mazhab sebagai ahli kiblat bagi menangani perbezaan dan pertembungan antara mazhab.

5. Menilai dan mendokumentasikan semula sejarah peradaban dan ketamadunan Islam Alam Melayu bagi membersihkannya daripada penyelewengan naratif.

6. Membetulkan semula silibus sejarah peradaban dan ketamadunan Islam Alam Melayu di semua institusi pendidikan bagi memperkukuh jati diri bangsa.

7. Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi serantau dan mengarusperdanakan tulisan jawi di seluruh alam Melayu bagi mengangkat identiti bangsa.

8. Memperluas rangkaian perniagaan dan melengkapkan rantaian bekalan produk Muslim bagi memperkukuh ekonomi ummah.

9. Menyeru umat Islam supaya mengutamakan perniagaan dan produk Muslim sebagai pilihan bagi menyemarakkan jihad ekonomi ummah.

Semua deklarasi berkenaan dibacaan Setiausaha Himpunan Alam Melayu 2026, Datuk  Wan Sukairi Wan Abdullah pada Pidato Perdana Penyatuan Ummah sempena program berkenaan malam ini.

Pidato Perdana Tersebut menampilkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya serta Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu berkata, sebagai komitmen menjayakan deklarasi berkenaan, Sekretariat Alam Melayu melibatkan para pemimpin, ulama, sarjana dan tokoh masyarakat akan ditubuhkan berpusat di Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN