Haji medan ubah diri, bukan kejar gelaran

Haji medan ubah diri, bukan kejar gelaran

SHAHRIN AWALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Ibadah haji bukan sekadar melengkapkan rukun Islam kelima atau mengejar gelaran haji, sebaliknya menjadi medan muhasabah dan titik perubahan diri ke arah kehidupan yang lebih baik.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tabung Haji (TH), Shahrin Awaluddin berkata, ibadah haji merupakan perjalanan rohani untuk membersihkan jiwa, memperbaiki kelemahan diri serta mendekatkan hubungan dengan Allah.

Menurut beliau, pelaksanaan ibadah itu bukan bertujuan meraih gelaran semata-mata, sebaliknya peluang terakhir untuk seseorang mengubah diri daripada kurang baik kepada lebih baik.

“Matlamat akhir pelaksanaan haji adalah untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, selari dengan konsep Maqasid Haji yang menekankan pembentukan insan beriman dan berakhlak.

“Sebelum ini mungkin ada kelemahan, dan inilah masanya untuk bertaubat serta memperbanyakkan doa kepada Allah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, setiap amalan dilakukan di Tanah Suci merupakan detik penting untuk mendekatkan diri kepada Allah serta memperkukuh hubungan spiritual seorang Muslim.

Katanya, antara ibadah yang memerlukan tumpuan penuh ialah tawaf, saie dan melontar jamrah kerana ia menuntut kehadiran fizikal, mental serta penghayatan rohani.

Tambah beliau, jemaah disaran memanfaatkan peluang berada di Tanah Suci dengan memperbanyakkan doa, zikir dan ibadah agar pengalaman itu memberi kesan positif dalam kehidupan selepas pulang ke tanah air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN