SEREMBAN: Empat individu termasuk dua orang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki kemudahan rangkaian milik sebuah syarikat telekomunikasi.
Tertuduh, C. Ritadevi, 27, mengaku bersalah manakala tiga lagi tertuduh M. James, 42, M.R. Ilamaaran, 43, dan K.Sobana, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Mahkamah menetapkan tarikh 11 Mei depan sebagai sebutan fakta dan hukuman bagi Ritadevi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Mengikut pertuduhan, dia telah didapati mempunyai dalam milikan kemudahan rangkaian telekomunikasi milik Maxis Telecomunications Berhad iaitu tiga unit Huawei Unit Kawalan Radio (RRU) dan empat unit Huawei Quad Band Combiner.
Manakala James, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, Ilamaaran sebagai penghantar makanan serta Sobana, seorang suri rumah dituduh telah didapati memiliki masing-masing sebuah unit Huawei RRU dan satu unit Quad Band Combiner.
Kesemua tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kemudahan rangkaian tersebut telah dikeluarkan secara salah daripada suatu kemudahan rangkaian sebagaimana yang diperihalkan di bawah Subseksyen 235(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 7.25 malam di tapak Stesen Pemancar Telekomunikasi Desa Kasia Nilai Spring pada 17 April lalu dan 12.10 tengah malam di tepi jalan Taman Pinggiran Bayu, Mantin di Nilai pada 18 April lalu.
Sehubungan itu, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 253(3) akta yang sama yang boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan Ritadevi dijamin RM10,000 manakala James, Ilamaaran dan Sobana RM9,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi. Kes ditetapkan sebutan semula bagi serahan dokumen dan hukuman pada 11 Mei depan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Ritadevi, Sobana, James dan Ilamaaran bersama dua yang lain iaitu A. Sivanathan, 31, S.Jayakumar, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri empat unit RRU dan enam unit Quad Combiner milik syarikat yang sama.
Keenam-enam tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norsalihah Sulaiman. Kesalahan itu dilakukan pebih kurang pukul 7.17 malam di tapak pemancar pencawang tangki air Sains Nilai, Spring Villa Desa Kasia di Nilai pada 17 April lalu.
Sehubungan itu, kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya P.Rubini menawarkan jaminan tanpa syarat sebanyak RM 5,000 terhadap setiap tertuduh. Mahkamah kemudian membenarkan jaminan tanpa syarat sebanyak RM3,000 terhadap kesemua tertuduh serta menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN










