Bekalan lembu korban di Perak mencukupi - Utusan Malaysia

Bekalan lembu korban di Perak mencukupi

MOHD. Zolkafly Harun (tengah) bersama pengunjung program Jelajah Sejahtera Desaku@DUN Chenderoh di Dewan Arena Terbuka, Kampung Chuar Hulu, Padang Rengas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Bekalan lembu bagi keperluan ibadah korban di Perak adalah mencukupi, meskipun harga dijangka meningkat sedikit susulan kenaikan kos bahan api yang dipengaruhi krisis di Asia Barat

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, peningkatan kos yang dihadapi pengeluar dan pembekal haiwan ternakan itu bagaimanapun tidak menjejaskan pelaksanaan ibadah korban di negeri ini.

“Alhamdulillah, bekalan lembu setakat ini mencukupi untuk ibadah korban.

“Cuma mungkin terdapat sedikit kenaikan harga lembu berbanding tahun-tahun lalu berikutan harga diesel yang agak tinggi sekali gus meningkatkan kos pengangkutan,” katanya pada program Jelajah Sejahtera Desaku@DUN Chenderoh di Dewan Arena Terbuka, Kampung Chuar Hulu di sini semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderoh, Datuk Mohamad Ariff Abdul Majid.

Mengulas lanjut beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah meluluskan permohonan bagi 94 premis untuk mendapatkan Permit Sembelihan Luar (PSL) sempena ibadah korban tahun ini.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan sebanyak 75 premis.

“Pada tahun lalu, sebanyak 7,344 PSL dikeluarkan melibatkan 6,905 lembu, 438 kambing dan seekor unta, dengan hasil kutipan berjumlah RM252,390,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai bekalan barangan keperluan sempena Hari Raya Aidiladha, beliau memberi jaminan bahawa bekalan adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu bimbang.

“Untuk hari raya ini, bekalan makanan seperti ayam, telur, daging, ikan dan sebagainya adalah mencukupi, malah melebihi keperluan rakyat negeri Perak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN