MELIHAT dan mendengar sembilan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersilih ganti berpidato termasuk ada yang lantang mengkritik kerajaan, seolah-olah sudah berada dalam musim kempen pilihan raya.
Cuma malam Sabtu lalu, mereka duduk atas satu pentas sempena Pidato Perdana Penyatuan Ummah yang merupakan acara kemuncak Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kelima dan Himpunan Alam Melayu 2026.
Ia berlangsung tiga hari di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus, Terengganu.
Program itu menampilkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa pimpinan lain.
Intipati ucapan pemimpin-pemimpin menjurus kepada kepentingan agenda pengukuhan perpaduan umat Islam sebagai benteng menghadapi pelbagai cabaran semasa, khususnya dalam konteks geopolitik dan perkembangan dunia yang semakin mencabar.
Malah, satu daripada sembilan deklarasi yang dicapai dalam ijtimak atau perhimpunan berkenaan adalah menggesa semua pemimpin, parti politik dan pertubuhan umat Islam bersatu bagi menjamin kuasa politik.
Hakikatnya, agenda penyatuan ummah iaitu usaha strategik menyatukan umat Islam dan parti politik Melayu-Islam sudah lama digerakkan, termasuk kerjasama antara Pas dan UMNO. Namun ia berdepan perbezaan ideologi politik serta strategi berbeza antara parti.
Dari sudut politik, gerakan kali ini dilihat lebih besar dengan penyertaan pelbagai parti dan NGO Melayu, kecuali tiada kelibat wakil UMNO.
Malah atas nama penyatuan ummah, buat pertama kali Hamzah yang belum pasti kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang boleh duduk satu pentas dengan Mohd. Radzi yang mewakili parti yang memecat Ahli Parlimen Larut itu sebagai Timbalan Presiden.
“Saya hendak maklumkan kepada Datuk Dr. Radzi Jidin, ini bukan untuk kelangsungan politik. Ini adalah kelangsungan untuk menentukan Melayu kembali mengambil alih kuasa. Menentukan kuasa itu benar-benar dapat kita bantu, bukan hanya Melayu tetapi seluruh rakyat yang ada dalam negara kita,” kata Hamzah.
Perkembangan itu memberi petanda bahawa ‘rumah baharu’ Hamzah kelak boleh menyertai PN tanpa menjejaskan hubungan kerjasama sedia ada. – UTUSAN










