Airspace Sandbox lonjak nama Perlis dalam industri dron dunia

Airspace Sandbox lonjak nama Perlis dalam industri dron dunia

ZALIMAN Sauli (kanan) mendengar penerangan berkenaan dron semasa Majlis Menandatangani MoU antara MHS dengan Vertiport Malaysia Sdn Bhd di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis, semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis bakal menjadi hab penerbangan dron pertama negara menerusi penubuhan Perlis Airspace Sandbox di Sungai Batu Pahat di sini, sekali gus melonjakkan nama Malaysia dalam industri dron dunia.

​Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Unimap Holdings Sdn. Bhd., Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, inisiatif itu juga ke arah mengangkat nama Malaysia dalam pengurusan ruang udara dron yang selamat, terkawal dan berteknologi tinggi.

Katanya, kepakaran MHS Aviation Berhad (MHS) Aviation, anak syarikat Boustead Holdings Berhad (BHB) diyakini dapat membantu mengkomersialkan dron pengawasan dan pelbagai jenis dron lain. 

“Perlis Airspace Sandbox adalah kawasan yang digazetkan khas untuk penerbangan dron dan melalui usaha ini, kita berhasrat menjadikan Perlis tumpuan utama pemain industri dron dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MHS dengan Vertiport Malaysia Sdn. Bhd., unit komersial di bawah Unimap Holdings Sdn. Bhd. di Sungai Batu Pahat, di sini, semalam.

Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM16 juta bagi bidang Aeronautik di mana sebahagian daripadanya diperuntuk untuk pembangunan projek Air Space Sandbox.

Pengumuman peruntukan itu membuka ruang bagi penyelidikan dan inovasi khusunya dalam bidang teknologi penerbangan altitud rendah.

​Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHS Aviation, Mohd Fakhrul Arifin Adinan berkata, pihaknya bersedia menawarkan pengalaman luas dalam operasi penerbangan dan sektor Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO).

​”Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berpengalaman dalam operasi helikopter, kami mahu memberi nilai tambah kepada industri dron yang bakal membuka peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi kepada anak watan membabitkan jawatan seperti saintis data yang sebelum ini kurang diberi perhatian serius,” katanya.

Dalam pada itu, ​Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr Zaliman Sauli pula berkata, Sungai Batu Pahat dipilih berikutan kelebihan geografi kawasan tersebut yang sangat ideal bagi penubuhan fasiliti berkenaan. 

​Katanya, kawasan berkenaan yang lapang, tiada bangunan tinggi serta ruang udara tidak sibuk menjadikan lokasi tersebut amat bersesuaian untuk penerbangan altitud rendah.

​”Melalui hab ini, kita akan membangunkan polisi penerbangan dron di bawah ketinggian 2,000 kaki (609.6 meter). Dengan kerjasama kerajaan negeri, kita turut merancang membina landasan sepanjang dua kilometer di Sungai Batu Pahat bagi tujuan latihan, penerbangan dan MRO dron,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN