KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menilai kesan penggunaan kecerdasan buatan (AI) menerusi satu kajian dikenali sebagai AI Paradox bagi mengenal pasti risiko dan cabaran terhadap integriti serta tadbir urus negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kajian itu melibatkan penelitian menyeluruh termasuk kesan jangka panjang penggunaan AI, khususnya dalam memastikan nilai integriti dalam perkhidmatan awam terus terpelihara.
Katanya, beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh menteri berkaitan dan beliau sendiri bagi meneliti isu AI secara khusus dan memastikan penggunaannya dikawal dengan baik.
“Kita turut menjalankan kajian yang kita panggil sebagai AI Paradox. Kita kini dalam proses menilai dan menambah baik perkara-perkara yang dirasakan boleh memberi kesan serta risiko pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) Ke-22 di Menara Integriti hari ini.
Shamsul yang juga Pengerusi IIM berkata, kes salah laku dan penyelewengan dalam perkhidmatan awam sebenarnya dapat dikesan, namun tindakan yang diambil didapati masih belum cukup berkesan dalam membendung masalah itu.
Justeru, pengukuhan integriti tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sistem atau institusi, sebaliknya memerlukan kesedaran dalaman setiap individu sebagai asas utama dalam membentuk nilai tersebut.
Katanya, tiada sebarang kelonggaran diberikan terhadap pelanggaran integriti, justeru tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Kes-kes tersebut dapat dikesan, cuma tindakan yang diambil tidak begitu berkesan. Sebab itu kita perlu ada institusi seperti IIM untuk membina nilai integriti. Perkara yang paling penting dalam integriti ialah dalaman atau apa yang ada dalam hati kita. Integriti mesti bermula daripada diri sendiri. Integriti itu berada di hati sama seperti enjin yang menggerakkan kita.
“Saya yakin Malaysia berada di landasan yang betul. Kita sememangnya memperjuangkan integriti. Kita adalah sebuah negara yang mempunyai iltizam yang tinggi.
“Sebab itu kita telah meluluskan akta berkaitan iltizam dan mewujudkan pelbagai akta baharu bagi memastikan kita terus bergerak ke hadapan dengan penuh integriti dalam usaha membina sebuah negara maju yang berdaya tahan dan berintegriti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul berkata, pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) menuntut disiplin dan komitmen tinggi dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan tugasan tetap dilaksanakan dengan baik.
“BDR bukan bermaksud baring, duduk atau berehat. Sebaliknya, BDR adalah bekerja dan perlu dilaksanakan dengan rajin,” katanya. – UTUSAN










