TAWAU: Seramai 80 warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya melalui panggilan telefon dan video serta menyamar sebagai anggota polis China.
Kesemua iaitu 78 orang warga China dan masing-masing seorang warga Laos serta Myanmar berusia 17 hingga 46 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan pakat jenayah yang salah di sisi undang-undang dengan memperdaya mangsa dalam penipuan insuran melalui panggilan telefon serta video kepada mangsa dan menyamar sebagai polis negara China, yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah resort, di daerah ini pada pukul 9.25 malam, 7 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(2) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, dua peguam masing-masing mewakili tujuh dan dua anak guam serta 71 mewakili diri sendiri memohon ikat jamin dan akan memberikan kerjasama terhadap pihak polis.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,500 bagi setiap tertuduh dengan dua orang penjamin warga tempatan.
Sementara itu, 23 daripada 80 tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas kesalahan imigresen. Semua tertuduh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Tiada jaminan ditawarkan dan kesemua pertuduhan akan disebut semula pada 25 Mei depan.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan 74 warga China dilanjutkan tempoh tahanan reman kali kedua berhubung kes sindiket penipuan dalam talian yang berselindung di sebalik operasi sebuah resort. Enam individu lagi dibebaskan namun dikehendaki membantu siasatan.
Sindiket dipercayai memasuki Sabah sejak tiga bulan lalu dan menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian dengan menyamar sebagai anggota polis dari China.
Sasaran utama sindiket adalah warga Amerika Syarikat (AS) berketurunan Cina yang berada di negara itu. – UTUSAN










