SANDAKAN: Kira-kira 30 keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Bakora, Kampung Karamunting, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, sepasukan 21 anggota dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.16 pagi.
“Setibanya di lokasi, kami bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran air daripada tangki jentera, pili bomba dan tangki air.
“Api kemudian dapat dikawal dan dianggarkan 30 rumah musnah dalam kebakaran itu manakala 100 rumah berhampiran berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi kemudian ditamatkan pukul 7.01 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.-UTUSAN










