MEKAH: Dua jemaah Malaysia yang dimasukkan ke hospital di Tanah Suci berada dalam keadaan stabil.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, salah seorang jemaah menerima rawatan akibat masalah jantung yang menyebabkannya mengalami sesak nafas.
“Ada dua jemaah yang telah dimasukkan ke hospital di Arab Saudi, namun keadaan mereka kini stabil,” katanya dalam sidang akhbar mingguan operasi haji 1447H/2026 di sini hari ini.
Mohd. Hisham berkata, bagaimanapun tahap keseluruhan jemaah lain berada dalam keadaan baik dan terkawal.
Difahamkan kedua-dua jemaah tersebut melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 72 dan 65 tahun, dengan salah seorang daripada mereka juga telah dibenarkan keluar dari hospital.
Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah dalam kenyataan menegaskan bahawa pematuhan ketat terhadap permit rasmi haji merupakan syarat asas bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah.
Menurut kementerian itu, pematuhan kepada peraturan berkenaan membolehkan jemaah menunaikan ibadah dengan lebih lancar, selesa dan tenang, selain menyumbang kepada kelancaran pergerakan serta kestabilan keseluruhan musim haji 1447H.
Jelasnya, sistem permit merupakan komponen penting dalam pengurusan kawalan jemaah dan pengagihan mereka secara seimbang di Tanah Suci bagi memastikan perkhidmatan di lapangan dapat disediakan dengan cekap mengikut keperluan, masa dan lokasi yang ditetapkan bagi setiap kumpulan jemaah.
Kementerian turut memberi amaran bahawa pelanggaran peraturan bukan sahaja mendedahkan pesalah kepada tindakan undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan jemaah lain serta keberkesanan sistem perkhidmatan sedia ada.-UTUSAN










