1MDB: Barang kemas disita daripada Pavilion bernilai RM443.3 juta - Saksi

1MDB: Barang kemas disita daripada Pavilion bernilai RM443.3 juta – Saksi

1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,009 barang kemas yang dianggarkan bernilai RM443,319,206.90 telah disita daripada sebuah unit kediaman di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner (ACP) Foo Wei Min memberitahu, nilai kasar barangan kemas itu diperolehi selepas Deputi Superintendan Yeap Yoke Peng dengan bantuan pakar-pakar barang kemas membuat penilaian terhadap barang-barang kemas yang disiti itu.

Penilaian barang-barang kemas itu mengambil masa hampir sebulan iaitu dari 30 Mei hingga 25 Jun 2018.

Wei Min yang juga pegawai penyiasat bagi kes AMLA dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi keterangan itu dalam perbicaraan dalam saman oleh syarikat barangan kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan barangan kemas berjumlah RM67.4 juta (AS$14.57 juta).

“Semasa menjalankan siasatan, Rosmah telah dipanggil hadir ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram untuk membantu siasatan ke atas harta-harta alih yang dirampas termasuk barang-barang kemas di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Dalam rakaman percakapan Rosmah, beliau menyatakan tidak mempunyai apa-apa pengetahuan dan tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan barang-barangnya daripada Langgak Duta ke Pavilion.

“Dalam rakaman percakapan tersebut juga, Rosmah tidak pernah menyatakan bahawa harta-harta tersebut adalah miliknya dan menyatakan bahawa beliau tidak boleh mengecam kesemua harta-harta alih tersebut walaupun ditunjuk dengan gambar yang jelas,” kata pegawai polis itu.

Wei Min kemudian menjelaskan, daripada 12,009 unit barang kemas yang sita, hanya satu sahaja disahkan milik Global Royalty dan telah dipulangkan kepada syarikat barang kemas itu.

“Pada 26 April 2022, satu arahan telah dikeluarkan oleh Peguam Negara untuk memulangkan 9,554 unit barang kemas kepada Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor. Tindakan pemulangan 9,554 unit barangan kemas telah dilaksanakan pada 28 dan 29 April 2022 kepada wakil Rosmah iaitu Datuk Akbar Abdul Gafoor dari Tetuan Azamudin & Co.

“Pada 14 November 2022, kes permohonan pelucuthakkan harta di bawah Seksyen 56 Akta 613 PP vs Obyu Holding Sdn. Bhd. telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Tindakan pemulangan barangan kemas sebanyak 2431 unit telah dilaksanakan pada 9.12.2022 kepada wakil Rosmah iaitu Azamuddin Abd Aziz di pekarangan Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur,” kata Wei Min.

Jumlah keseluruhan barang kemas yang telah dipulangkan kepada Rosmah ialah sebanyak 11,985.

Tambah, Wei Min, baki barangan kemas yang disita masih lagi disimpan oleh pihak polis dan dalam permohonan proses pelucuthakan di bawah Seksyen 55 AMLAFTPUAA.

Sementara itu, ketika disoal semula oleh Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin, saksi itu menjelaskan bahawa keterangan yang diberikan hari ini bukanlah sesuatu yang difikirkan semula (afterthought).

“Saya sudah menyiasat kes ini sejak 2018 dan ia masih dalam ingatan saya. Saya masih lagi bermimpi ngeri mengenai kes ini dan saya juga masih perlu menangkap Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho). Ia bukan satu `afterthought’,”katanya.

Perbicaraan yang didengar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN