KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonannya untuk membatalkan saman pemula bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang mempertikai keabsahan pelantikannya.
Hakim Alice Loke Yee Ching turut memutuskan bahawa saman pemula itu adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah dan kemudian memerintahkan Waytha untuk membayar kos sebanyak RM80,000.
Beliau dalam penghakiman berkata, alasan utama oleh Waytha Moorthy adalah untuk mengisytiharkan bahawa pelantikan Anwar sebagai Ahli Parlimen adalah tidak sah.
“Ia secara langsung mencabar keputusan pilihan raya. Mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran sedemikian. Cabaran terhadap pilihan raya hanya boleh dibuat melalui petisyen pilihan raya sebagaimana dalam peruntukkan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 118 memperuntukkan bahawa tiada pilihan raya boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya yang dikemukakan ke Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa.
“Tambahan pula, isu sama ada defendan hilang kelayakan pada masa pemilihannya adalah perkara yang hanya boleh dicabar melalui petisyen pilihan raya di bawah Seksyen 32(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.
Sehubungan itu, Hakim Yee Ching menyatakan, berdasarkan alasan tersebut, saman pemula Waytha Moorthy jelas tidak dapat dipertahankan dan oleh itu dibatalkan.
Sementara itu, Waytha Moorthy ketika ditemui selepas tamat prosiding memaklumkan akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Pada 10 Oktober 2025, Anwar memohon untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan ia melanggar pelbagai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.
Anwar berkata, saman berkenaan tidak berasas dan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah serta menyalahgunakan proses mahkamah.
Pada 12 Ogos 2025, Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bahawa perisytiharan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen adalah tidak sah.
Ia berikutan perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 terhadap Anwar berhubung kesalahan jenayah dan hukuman penjara selama lima tahun.-UTUSAN










