Tentera Thai puji kerjasama ATM kawal sempadan

Tentera Thai puji kerjasama ATM kawal sempadan

ANGGOTA tentera Thailand dan Malaysia bersama-sama di Pusat Operasi Bersama Ban Dida di sempadan Yala-Kedah, Thailand. – IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YALA, THAILAND: Tentera Thailand memuji kerjasama erat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah rentas sempadan dan pencerobohan.

Penghargaan itu dizahirkan Timbalan Panglima Tentera Wilayah 4, Mejar Jeneral Chakrit Ucharatana yang juga Timbalan Pengarah Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) semasa menerima kunjungan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal di pangkalan operasi bersama Ban Dida, daerah Bannang Sata di sini kelmarin.

Jurucakap ISOC 4 berkata, Chakrit menyatakan bahawa misi bersama kedua-dua negara di pangkalan Ban Dida tertumpu kepada pemantauan dan pencegahan pelanggaran kedaulatan oleh pihak musuh, serta mencegah penyeludupan barangan haram merentasi sempadan.

“Ban Dida adalah pos pemeriksaan sempadan bersama Thailand-Malaysia yang terletak di Kampung Tham Thalu, daerah Bannang Sata, Yala yang bersempadan dengan Kedah.

“Ia berfungsi sebagai pangkalan operasi bagi Pasukan Tugas Khas Pertahanan Sempadan ke-3 dan Rejimen Pertahanan Sempadan ke-1 di bawah Divisyen Kawalan Suriyothai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini.

Jurucakap ISOC4 itu berkata, misi tersebut juga bertujuan memperkukuh hubungan baik antara Thailand dan Malaysia,terutama dalam sektor keselamatan yang mana kedua-dua negara mempunyai kerjasama yang telah lama terjalin.

Katanya, pemimpin tentera kedua-dua negara itu menjelaskan dasar dan arahan daripada pihak atasan bagi memastikan pasukan keselamatan bekerja dengan berkesan dan mengurus pelbagai situasi dengan baik terutama dari segi keselamatan mahupun mengekalkan keamanan serta ketenteraman di kawasan sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×