PETALING JAYA: Kerajaan digesa meneliti semula cadangan dikemukakan pelbagai pihak bagi membantu golongan yang terkesan susulan penyelarasan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) ketika ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, suara rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah perlu diberikan perhatian serius kerana mereka merupakan kelompok paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, jika pandangan rakyat terus diketepikan, beliau mencadangkan agar gaji Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kedua-dua blok dipotong sebagai tanda solidariti terhadap kesusahan rakyat.
“Langkah ini sekurang-kurangnya memberi gambaran sebenar kepada wakil rakyat mengenai tekanan hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mendakwa terdapat jurang ketara antara angka dipaparkan dalam laporan rasmi dengan realiti kehidupan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, bagi sesetengah pihak, penyelarasan subsidi mungkin dilihat kecil dan tidak memberi kesan besar, namun hakikatnya ia memberi impak signifikan kepada sebahagian rakyat terutama yang bergelut memenuhi keperluan asas.
“Seruan agar rakyat berjimat cermat juga dilihat kurang tepat kerana ramai dalam kalangan mereka telah lama mengamalkan gaya hidup berhemat,” katanya.
Dr. Muhamad Akmal berkata, walaupun rakyat telah sedia berjimat, penyelarasan subsidi menyebabkan beban mereka semakin bertambah.
“Kerajaan diharap dapat mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan dalam merangka dasar khususnya berkaitan kebajikan rakyat,” katanya.
Kelmarin, kerajaan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini bagi memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil sebagai pendekatan bersasar susulan ketidaktentuan pasaran minyak global serta kesan konflik di Asia Barat terhadap bekalan dan ekonomi dunia.
Beliau berkata, penyelarasan tersebut tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna memandangkan majoriti rakyat menggunakan kurang 200 liter sebulan. – UTUSAN










