PETALING JAYA: Tiada sebarang perubahan dibuat terhadap kuota bulanan Budi Madani RON95 (BUDI95) yang kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak termasuk bagi Jun 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, semasa kerja penyelenggaraan sistem BUDI95 pada pukul 11 malam (31 Mei 2026), sebahagian pengguna mungkin melihat paparan had bulanan sebanyak 150 liter.
Katanya, paparan tersebut berpunca daripada ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan.
“Kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak, termasuk untuk bulan Jun 2026.
“Justeru, ingin ditegaskan tiada sebarang perubahan telah dibuat terhadap had bulanan BUDI95,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MOF, pihaknya akan terus memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan teratur demi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar sampai kepada golongan yang layak.
“Segala kekeliruan yang timbul berhubung ralat tersebut amat dikesali,” katanya. – UTUSAN










