BUDI95: Kuota petrol pekerja gig p-hailing bakal dinaikkan 250 liter

BUDI95: Kuota petrol pekerja gig p-hailing bakal dinaikkan 250 liter

Anwar Ibrahim bermesra dengan orang ramai dalam satu program du Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan bercadang meningkatkan had kuota petrol bersubsidi BUDI95 kepada 250 liter bagi penghantar makanan p-hailing sekali gus meringankan beban pekerja gig di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut akan dibincangkan bersama kementerian yang berkaitan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Selasa ini.

“Sebab dia (pemandu p-hailing) dapat 200 liter sama macam kita, RON95 200 liter sahaja. Jadi saya kata, nanti saya peringatkan saudara Fahmi (Datuk Fahmi Fadzil), kita cari jalan sekurang-kurangnya naikkan 50 liter jadi 250 liter.

“Mereka tak minta, tapi saya tanya. Ada penghantar yang kata kalau 300 liter boleh ke Datuk Seri, saya kata kita buat perlahan-lahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Negeri Johor di Dewan Terbuka PPR Taman Desa Mutiara, di sini hari ini.

Anwar berkata, keupayaan kerajaan untuk menyalurkan bantuan infrastruktur dan mengekalkan harga petrol subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter adalah kerana hubungan baik dengan Iran yang membenarkan kapal tangki minyak Malaysia melalui Selat Hormuz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN