BALING: Seorang lelaki tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas 13 pertuduhan menggunakan nombor kad pengenalan milik tiga individu untuk membeli petrol RON95 mengikut harga subsidi, pada Mac dan April lalu.
Tertuduh, Azman Aziz, 53, dari Perak membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa berpura-pura menjadi tiga individu lain berusia 23, 25 dan 57 tahun dengan menggunakan nombor kad pengenalan mereka untuk membeli kuota petrol bersubsidi di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95).
Perbuatan itu didakwa melibatkan kuota petrol berjumlah 594.459 liter bagi kesemua 13 pertuduhan tersebut sehingga menyebabkan tiga individu terbabit mengalami kerugian kuota subsidi bulanan.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, di sini antara 18 Mac hingga 23 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 419 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Masniah Dolah.
Masniah memohon jumlah jaminan rendah kerana tertuduh hanya melakukan kerja kampung dengan pendapatan RM3,000 sebulan, selain menanggung isteri yang tidak bekerja dan lima anak.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan berkenaan dan tertuduh membayar jaminan tersebut. Kes akan disebut semula pada 8 Julai depan. – UTUSAN









