PETALING JAYA: Purata penumpang hari bekerja Transit Aliran Ringan (LRT) kini mencecah 289,282 orang sehari berbanding 150,889 orang sehari pada 2020 terutama di Laluan Kelana Jaya.
Dari 2020 hingga April lalu, jumlah penumpang meningkat kepada 109 peratus berbanding hanya 50 peratus kira-kira enam tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail Sdn. Bhd., Nor Azmi Mohd. Yusof berkata, pihaknya mengesan peningkatan ketara jumlah penumpang LRT Laluan Kelana Jaya sejak kebelakangan ini, berkemungkinan susulan tekanan bekalan bahan api global.
“Angka ini menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan purata sekitar 11.5 peratus dan trend peningkatan ini dijangka berterusan pada tahun-tahun akan datang,” katanya semasa sesi taklimat operasi dan kerja naik taraf Laluan Kelana Jaya di Kompleks Rapid Rail Subang di sini, hari ini.
Nor Azmi berkata, trend peningkatan itu dikesan sepanjang tempoh krisis global yang turut berkait dengan pelaksanaan insentif subsidi bahan api, namun berlaku penurunan sementara apabila kerajaan memperkenalkan arahan bekerja dari rumah (BDR).
“Kami melihat ketika krisis Asia Barat, memang berlaku peningkatan terutama apabila insentif subsidi diperkenalkan. Namun terdapat sedikit penurunan apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan bekerja dari rumah.
“Bagaimanapun secara keseluruhan, kami melihat ramai pengguna beralih daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam dan ini merupakan perkembangan positif.
“Rapid Rail akan terus mempergiat usaha penambahbaikan perkhidmatan bagi menampung peningkatan permintaan dalam kalangan pengguna,” katanya. – UTUSAN









