Semua pihak perlu nilai Akta Pekerja Gig secara adil

Semua pihak perlu nilai Akta Pekerja Gig secara adil

GEM meminta semua pihak agar menilai Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) secara lebih adil kerana akta tersebut masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan eHailing Malaysia (GEM) meminta semua pihak agar menilai Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) secara lebih adil kerana akta tersebut masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya.

Ketua Aktivisnya, Masrizal Mahidin berkata, pihaknya mengambil maklum pelbagai pandangan serta kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa pihak berhubung pelaksanaan akta tersebut.

Katanya, GEM menghormati hak mana-mana entiti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pandangan masing-masing dalam semangat keterbukaan dan demokrasi dasar awam.

“Namun, adalah tidak wajar untuk terus memberi gambaran yang terlalu jumud, berat sebelah atau seolah-olah menjatuhkan hukuman awal terhadap satu kerangka undang-undang yang masih dalam proses pelaksanaan dan penambahbaikan melalui dialog bersama pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masrizal berkata, sebahagian pihak yang kini lantang mengkritik akta berkenaan sebelum ini juga bukan antara pihak yang menyokong usaha mewujudkan akta khusus bagi pekerja gig.

Katanya, usaha memperjuangkan kerangka perlindungan undang-undang bagi komuniti pekerja gig telah mengambil masa bertahun-tahun melalui advokasi pelbagai pihak termasuk komuniti itu sendiri.

“Pperbahasan mengenai akta tersebut ketika ini dilihat terlalu tertumpu kepada perspektif Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715-APAD) yang berkait rapat dengan sektor e-hailing dan p-hailing.

“Namun kita harus memahami bahawa Akta 872 mempunyai skop yang jauh lebih luas dan tidak hanya menyentuh sektor pengangkutan gig semata-mata.

“Ia turut merangkumi sekurang-kurangnya 11 sektor ekonomi gig termasuk e-hailing, p-hailing, sektor seni kreatif, jurubahasa bebas, pekerja digital dan freelance serta pelbagai bentuk pekerjaan gig moden yang semakin berkembang dalam ekonomi digital,” katanya.

Tambah beliau, GEM menyambut baik usaha Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang menganjurkan sesi libat urus bersama pemegang taruh baru-baru ini.

Katanya, langkah tersebut merupakan permulaan yang positif dalam memastikan pembinaan dasar dilakukan secara inklusif dengan penglibatan semua pihak berkepentingan.

“Proses membina dasar yang baik sememangnya memerlukan dialog berterusan, ruang kritikan yang konstruktif serta kerjasama semua pihak.

“Semangat dialog sebegini sangat kami sanjung kerana ia membuka ruang untuk penambahbaikan secara bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN