MELAKA: Jemaah Menteri minggu lalu telah meluluskan secara dasar penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM) sebagai langkah penting bagi mengawal selia pelaksanaan Akta Pekerja Gig yang telah diluluskan sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan suruhanjaya tersebut bertujuan melindungi kebajikan kira-kira 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara.
Menurutnya, SEGIM akan memastikan aspek perlindungan sosial kepada seluruh pekerja gig seperti caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Beliau berkata, kerajaan sedang mencari mekanisme terbaik supaya caruman Perkeso dan KWSP tidak hanya dibuat oleh pekerja gig itu sendiri tetapi turut melibatkan penyedia platform atau service provider kerana pekerja gig tidak mempunyai majikan tetap seperti pekerja konvensional.
“Oleh sebab itu, suruhanjaya ini adalah bagi mengawal selia demi menjaga kebajikan pekerja-pekerja yang berjumlah seramai 1.2 juta orang. Ini kerana tidak begitu ramai yang telah mencarum dengan Perkeso dan KWSP.
“Jadi aspek-aspek inilah yang akan menjadi salah satu daripada tata kerja kepada pertanggungjawaban Suruhanjaya Ekonomi GIG ini.
“Begitu juga dari segi jumlah upah minima mengikut perbatuan kadang-kadang terdapat kadar yang berbeda-beda, jadi kita berhasrat untuk melakukan penyelesaian agar kebajikan pekerja-pekerja gig ini dapat dibela oleh suruhanjaya ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega di Dataran Pusat Islam Masjid Al-Azim di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, selain itu, suruhanjaya berkenaan juga akan meneliti isu kadar bayaran minimum dan struktur upah, termasuk bayaran mengikut perbatuan atau tugasan yang ketika ini berbeza antara platform.
Menurutnya, kerajaan juga turut memberi perhatian kepada aspek peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) melalui program dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Ini bertujuan membantu pekerja gig memperoleh kemahiran teknikal dan berpeluang mendapatkan pekerjaan tetap pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










