KUALA LUMPUR: Perbezaan RM2.1 bilion antara perbelanjaan sebenar dengan peruntukan asal Program Jalan Luar Bandar (JALB) bagi tempoh 2023 hingga 2025 bukanlah bukti berlakunya kehilangan wang atau penyelewengan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbezaan itu timbul apabila perbelanjaan sebenar berjumlah RM6.108 bilion dibandingkan dengan peruntukan asal sebanyak RM3.982 bilion tanpa mengambil kira peruntukan tambahan dan pindaan yang dibuat sepanjang tempoh berkenaan.
“Perbezaan RM2.1 bilion berbanding peruntukan asal itu bukan dengan sendirinya bukti wang hilang, ketirisan atau penyelewengan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, semalam.
Jelasnya lagi, jumlah peruntukan asal JALB bagi tempoh tiga tahun itu adalah RM3.982 bilion sebelum diselaraskan kepada RM6.143 bilion.
Katanya, daripada jumlah tersebut, perbelanjaan sebenar direkodkan sebanyak RM6.108 bilion sekali gus meninggalkan baki kira-kira RM34.3 juta.
Ahmad Zahid berkata, kedudukan kewangan program itu perlu dinilai dengan membezakan peruntukan asal, peruntukan dipinda dan perbelanjaan sebenar bukannya membandingkan perbelanjaan dengan peruntukan asal semata-mata.
Malah katanya, peruntukan yang ditambahkan tidak membolehkan kementerian membelanjakan wang sesuka hati kerana setiap pelarasan tertakluk kepada mekanisme dan kelulusan yang ditetapkan kerajaan.
“Maksudnya, arahan menteri sahaja tidak membolehkan wang terus dibelanjakan. Kelulusan dan tatacara kewangan kerajaan tetap perlu dipatuhi,” katanya.
Katanya lagi, proses berkenaan melibatkan pegawai pengawal kementerian, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan serta Jabatan Akauntan Negara Malaysia mengikut bidang kuasa masing-masing.
Katanya, kelulusan dan pelarasan berkaitan turut direkodkan dalam sistem kerajaan termasuk MyProjek dan iGFMAS manakala pembayaran diproses berdasarkan tuntutan serta pengesahan kerja oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, JALB melibatkan 415 projek pada pelbagai peringkat dengan kos keseluruhan kira-kira RM34.23 bilion setakat 30 September 2026.
Bagi tahun ini, perbelanjaan sehingga 30 September berjumlah kira-kira RM2.48 bilion daripada peruntukan dipinda RM3.02 bilion, bersamaan 82.1 peratus.
Bagi 2027, kementerian menerima peruntukan RM2.266 bilion dengan keutamaan diberikan kepada projek yang sedang dalam pembinaan, komitmen sedia ada dan penyelesaian tunggakan bayaran.
“Keutamaan kita adalah menyiapkan projek yang sedang berjalan, menyelesaikan bayaran yang sah dan memastikan komitmen baharu seiring dengan kemampuan kewangan kerajaan,” katanya. – UTUSAN











