PETALING JAYA: Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) perlu disemak semula bagi meminda semula peruntukan bermasalah di bawah undang-undang tersebut.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG), Fairuz Jamaludin berkata, pihaknya mendapati terdapat kelompongan kritikal dalam peruntukan akta tersebut yang berisiko menggugat kelangsungan hidup pekerja gig warganegara Malaysia.
Katanya, ia termasuklah takrifan dalam Akta 872 yang memberi pengiktirafan kepada pemastautin tetap (PR) sebagai pekerja gig.
“Perkara itu jelas bertentangan dengan dasar sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang menetapkan hanya warga Malaysia dibenarkan beroperasi sebagai pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
“Sekiranya status PR diiktiraf, ia bakal mencetuskan lambakan penawaran pekerja. Kesannya, syarikat pengendali platform berpotensi memanipulasi dan menekan kadar tambang serta upah yang sedia rendah ke paras yang lebih tidak munasabah.
“Memandangkan tarikh penguatkuasaan Akta 872 dijangka bermula pada penghujung Mac 2026, masa semakin suntuk. MyGiG menggesa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan duduk semeja bagi menyelaraskan akta ini supaya tiada pertindihan bidang kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Fairuz, kelompongan dipercayai berpunca daripada kelemahan tadbir urus dan kurangnya penelitian semasa sesi libat urus awal sebelum kepimpinan Kementerian Sumber Manusia yang baharu mengambil alih.
Sementara itu, katanya, MyGiG menyokong penuh keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan kawal selia ekosistem industri gig di negara ini.
“MyGiG kekal komited untuk bekerjasama dengan kementerian melalui sesi libat urus bagi mencari titik pertemuan terbaik demi masa depan pekerja gig tempatan,” katanya. – UTUSAN








