PETALING JAYA: Keadaan rakyat Malaysia di Doha, Qatar dilaporkan selamat, walaupun negara itu menerima amaran keselamatan susulan konflik yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Rakyat Malaysia yang menetap di Doha, Rossalwani Najwa Deraman, 42, berkata, situasi di negara Teluk itu masih terkawal, walaupun pihak berkuasa Qatar mengeluarkan arahan berlindung kelmarin.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan sekitar pukul 10.39 pagi waktu tempatan selepas terdapat ancaman peluru berpandu atau dron yang dikesan memasuki ruang udara.
“Alhamdulillah, keadaan di sini terkawal walaupun pagi tadi sekitar pukul 10.39 waktu Qatar ada amaran supaya berlindung.
“Namun, pihak berkuasa Qatar berjaya memintas peluru berpandu atau dron tersebut. Setiap kali ancaman itu berjaya dihapuskan, kami akan menerima makluman melalui telefon,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam, negara-negara Teluk melaporkan, berlaku serangan peluru berpandu dan dron manakala Iran berikrar untuk meneruskan serangan terhadap negara-negara jiran ketika perang serantau itu memasuki minggu kedua.
Arab Saudi, Qatar dan Kuwait semuanya melaporkan serangan baharu, selepas letupan kuat kedengaran di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Manama di Bahrain sehari sebelumnya.
Rossalwani berkata, sistem amaran keselamatan Qatar berfungsi dengan baik yang mana penduduk akan menerima pemberitahuan secara langsung melalui telefon bimbit sekiranya terdapat ancaman.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri Qatar turut mengeluarkan arahan kepada orang ramai supaya kekal berada di rumah, kecuali jika terdapat keperluan mendesak seperti membeli barangan keperluan asas.
Ujarnya, sesi persekolahan terjejas apabila Kementerian Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar mengarahkan semua sekolah melaksanakan pembelajaran secara dalam talian buat sementara waktu. – UTUSAN










