KOTA BHARU: MIC akan ditawarkan peranan dan kedudukan lebih besar dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya parti berkenaan menyertai gabungan itu sebagai anggota baharu.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya MIC bersetuju, jumlah parti anggota dalam gabungan tersebut meningkat kepada lima iaitu Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Parti India Malaysia (MIPP).
“Jadi malam ini saya jumpa Presiden MIC dan akan menerangkan bahawa mereka telah diterima. Pada Disember tahun lalu dan mesyuarat 14 Mac lalu, kita mengesahkan minit penerimaan MIC sebagai parti anggota di bawah kepemimpinan baharu ini,” katanya selepas Penyampaian Sumbangan Kepada Penggerak Pas Kota Bharu di sini, hari ini.
Mengenai kedudukan MIC yang dikatakan masih bersama BN, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, perkara tersebut bukan urusan pihaknya.
“Apabila mereka memohon menyertai PN dan kita menerima permohonan itu, bagi kita perkara itu sudah selesai,” ujarnya.
Beliau berkata, PN turut menerima permohonan daripada beberapa parti lain untuk menyertai gabungan berkenaan.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan PN kini semakin terbuka dan inklusif di bawah kepemimpinan baharu gabungan berkenaan. – UTUSAN










