PETALING JAYA: Lebih ramai pegawai berintegriti akan dilahirkan dalam sektor awam, swasta dan masyarakat bagi memperkukuhkan agenda kerajaan memerangi rasuah.
Bagi mencapai tujuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), selain memastikan integriti terus menjadi teras dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya, usaha memerangi rasuah tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pembudayaan integriti dan amalan tatakelola yang baik secara menyeluruh.
Menurut beliau, pendekatan tersebut perlu melibatkan semua pihak termasuk sektor awam, sektor swasta serta masyarakat bagi memastikan usaha membanteras rasuah dilaksanakan secara lebih berkesan dan mampan.
“Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai dalam memerangi rasuah. Usaha ini perlu diperkukuh melalui pembudayaan integriti dan amalan tatakelola yang baik secara menyeluruh, melibatkan sektor awam, swasta serta masyarakat.
“Kerajaan kekal fokus memperkasa agenda tatakelola bagi memastikan integriti dan ketelusan terus menjadi teras perkhidmatan awam demi menjunjung amanah rakyat serta memperteguh keyakinan terhadap institusi negara,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang berlangsung di Putrajaya bagi membincangkan pelbagai langkah pengukuhan tatakelola serta strategi mempertingkatkan usaha pencegahan rasuah di peringkat nasional.
Anwar berkata, isu ketirisan wang awam dan salah guna kuasa masih menjadi antara cabaran utama dalam tadbir urus negara kerana ia bukan sahaja merencatkan kecekapan pentadbiran, malah memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, implikasi ketirisan tersebut turut memberi kesan kepada pelbagai sektor termasuk kesihatan awam, pemeliharaan alam sekitar serta integriti institusi negara.
Sehubungan itu katanya, kerajaan komited memperkukuh koordinasi strategik antara agensi selain memperluas penyertaan pelbagai pihak dalam usaha memperkasakan agenda pencegahan rasuah negara.
Tambah beliau, langkah tersebut selari dengan komitmen kerajaan untuk memastikan sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip akauntabiliti, ketelusan serta integriti tinggi bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.
“Antara dipersetujui di dalam mesyuarat ini ialah pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah, pengukuhan agenda pencegahan rasuah negara berasaskan penyertaan semua pihak serta pemerkasaan koordinasi strategik antara agensi,” katanya.-UTUSAN










