PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar menafikan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.
Menurut Nurul Izzah, beliau kekal komited menjalankan amanah yang diberikan selaras dengan mandat anggota parti dan proses demokrasi organisasi.
“Tiada sebarang perubahan berlaku dalam struktur kepimpinan sedia ada, dan fokus utama saya kini adalah untuk terus memperkukuh agenda perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk merujuk kepada khabar angin yang sedang tular di media sosial berhubung kedudukan dalam PKR kononnya telah melepaskan jawatan.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, beliau menghargai keprihatinan semua pihak berhubung dakwaan itu.
“Namun saya menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau spekulasi yang berniat jahat.
“Segala maklumat sahih hanya akan disalurkan melalui kenyataan rasmi parti,” katanya.-UTUSAN










