KUBANG PASU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan rampasan petrol dan diesel bernilai RM32.1 juta yang cuba diseleweng menerusi Op Tiris 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, sebanyak 38,615 pemeriksaan dilakukan sepanjang tempoh itu dan pihaknya berjaya mengesan 1,371 kes dengan tangkapan seramai 667 individu.
“Kami berjaya merampas petrol dan diesel bernilai RM32.1 juta dengan jumlah keseluruhan rampasan RM146 juta membabitkan lori, ‘skid tank’, tangki IBC, pam hos dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.
Sementara itu, Shamsul Nizam berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang dikesan menyalahgunakan kad subsidi diesel atau ‘fleet card’ bagi mengaut keuntungan haram termasuk menyeludup bahan api itu ke Thailand.
Katanya, KPDN tidak akan berkompromi dengan individu mahupun sindiket yang melakukan kesalahan itu dengan operasi bersepadu akan dipertingkat bagi membanteras aktiviti ketirisan iaitu penyeludupan dan penyelewengan bahan api terutama di pintu sempadan negara.
Ujar beliau, pihaknya bersedia dengan kemungkinan peningkatan cubaan menyeludup petrol dan diesel ke negara jiran disebabkan isu bekalan bahan api berikutan konflik Asia Barat.
“Kami akan mempertingkat operasi bersepadu bersama agensi lain bagi membanteras sebarang aktiviti ketirisan, penyeludupan dan penyelewengan petrol serta diesel.
“Kawalan di semua pintu sempadan negara akan diperketatkan dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap kenderaan yang keluar, stesen minyak, stesen minyak tanpa subsidi serta pemborong,” ujarnya.
Jelasnya, risikan, pemeriksaan dan pemantauan secara intensif turut dilaksanakan di stesen minyak serta kawasan tumpuan. – UTUSAN










