JOHOR BAHRU: Inisiatif Madani Mart yang dilancarkan semalam diperhalusi dengan terperinci bagi memastikan ia tidak membebankan kerajaan dengan pengeluaran sebarang dana dalam masa sama membantu rakyat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, Madani Mart menggunakan model kerjasama strategik melibatkan sektor awam iaitu KPDN, operator atau pemegang lesen dan Yayasan Madani.
Katanya, Yayasan Madani sebagai pemilik jenama berfungsi mengawal ekosistem termasuk memberi latihan, meletakkan harga, sistem dan sebagainya tetapi yang terlibat dalam outlet itu adalah usahawan yang terlibat.
“Ada yang mengecam tiru Kedai Rakyat 1Malaysia, sebaliknya model yang digunakan MADANI Mart adalah pelesenan di mana kerajaan tidak mengeluarkan modal
“Kita belajar daripada kesilapan terdahulu apabila kerajaan keluar modal untuk bayar capex (perbelanjaan modal), opex (perbelanjaan operasi), inventori dan sebagainya.
“Model itu tidak terpakai dalam Madani Mart yang berkonsepkan pelesenan yang mengawal tetapi memberi fleksibiliti kepada usahawan untuk menjayakan bisnes itu dengan bantuan rantaian bekalan daripada Yayasan Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan eCOSS di Pasaraya Maslee B5, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan cawangan pertama Madani Mart di Indera Mahkota 8, Kuantan.
Inisiatif Madani Mart yang diterajui Yayasan Madani merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat, berteraskan slogan “Kedai Runcit Harga Rahmah.”
Fuziah yang merupakan Pengerusi, Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan Madani berkata, yayasan itu selari dengan dasar kerajaan, namun tidak menerima sebarang dana daripada kerajaan.
“Selain itu, Yayasan Madani juga tidak mengeluarkan modal bagi pembangunan Madani Mart, di mana setiap outlet dimiliki dan diusahakan secara persendirian,” ujarnya. – UTUSAN










