KPDN Melaka rampas 31,279 aksesori tiruan, terbesar dalam tempoh 10 Tahun

KPDN Melaka rampas 31,279 aksesori tiruan, terbesar dalam tempoh 10 Tahun

Mohd Hazimin Jamaluddin (tiga, kanan) menunjukkan sebahagian aksesori tiruan telefon bimbit yang dirampas dalam sidang akhbar di Stor Eksibit KPDN, Krubong, hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menumpaskan satu sindiket penjualan aksesori telekomunikasi tiruan dalam talian dengan rampasan sebanyak 31,279 unit bernilai RM132,086, semalam.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaluddin berkata, serbuan kira-kira pukul 11 pagi di sebuah premis di Taman Teknologi Cheng, merupakan rampasan terbesar direkodkan di negeri ini dalam tempoh 10 tahun.

Menurutnya, serbuan melibatkan tujuh pegawai penguat kuasa bersama wakil pemilik cap dagangan berdaftar, telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an, dipercayai pengurus gudang tersebut.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan platform e-dagang dan media sosial untuk memasarkan produk tiruan ke seluruh negara.

“Apabila sindiket menggunakan platform dalam talian, kita mengesyaki barangan ini telah diedarkan keluar dari Melaka ke pasaran lebih luas.

“Dengan pergerakan stok keluar masuk yang aktif di gudang, kita menganggarkan nilai jualan tahunan mencecah lebih RM1 juta.

“Sekiranya kegiatan ini tidak dibanteras, barangan tiruan ini akan terus membanjiri pasaran dan berpotensi memperdaya pengguna yang menyangka ia adalah produk asli,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Eksibit KPDN, Krubong di sini, hari ini.

Mohd Hazimin berkata, sindiket turut menggunakan taktik memperdaya dengan memasarkan produk seolah-olah barangan original bagi menarik pembeli dalam talian.

Menurutnya, rampasan melibatkan pelbagai aksesori seperti sarung casing telefon, earphone, air-pods, kabel pengecas serta kotak telefon bimbit yang menggunakan jenama terkenal.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barangan menggunakan cap dagangan palsu untuk tujuan perdagangan.

Jelasnya, individu yang disabitkan dengan kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda RM15,000 bagi setiap barangan tiruan.

“KPDN memberi amaran keras kepada peniaga supaya tidak terlibat dalam aktiviti penjualan barangan tiruan serta sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN