PETALING JAYA: Semua perbelanjaan teras akan diteruskan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026, meskipun kerajaan melaksanakan pelarasan perbelanjaan mengurus ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, pelarasan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal serta tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan termasuk sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan.
Katanya, langkah itu dilaksanakan untuk menyediakan ruang fiskal bagi bantuan serta subsidi bersasar kepada golongan dan sektor yang terjejas akibat krisis bekalan global.
“Semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.
“Ini meliputi perbelanjaan teras untuk kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Panduan pelarasan perbelanjaan termasuk langkah seperti penangguhan penganjuran acara, mengehadkan kunjungan dan latihan luar negara, penjimatan utiliti, mengoptimumkan rizab simpanan agensi serta penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan diarahkan supaya berjimat cermat dengan berbelanja secara sederhana sebagai langkah mengurangkan tekanan kewangan susulan ketidaktentuan ekonomi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah.
MOF akan memperkemas pengurusan perbelanjaan kerajaan secara lebih cekap bagi memastikan negara kekal berdaya tahan.
“MOF juga komited untuk terus memperkukuh keupayaan tindak balas krisis dengan meneliti pendekatan yang seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi dan pada masa yang sama kedudukan kewangan negara kekal kukuh,” katanya. – UTUSAN










