Jumpa penyu hidup dalam pukat ketika bersih pantai

Jumpa penyu hidup dalam pukat ketika bersih pantai

MOHAMAD Umbaidah Tengah menemukan penyu agar yang terperangkap di dalam pukat ketika aktiviti mengutip plastik di kawasan Pantai Batu Buruk 2, Kuala Terengganu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Rutin sepasang suami isteri me­ngutip plastik di pesisir pantai membawa kepada penemuan seekor penyu agar betina yang terperangkap dalam pukat di kawasan Dataran Batu Buruk 2 di sini, semalam.

Penyu betina yang dianggarkan berusia kira-kira dua tahun itu dapat diselamatkan selepas usaha mengeluarkannya daripada pukat tersebut.

Mohammad Umbaidah Tengah, 63, berkata, dia bersama isteri, Zaleha Abu Bakar, 63, melakukan aktiviti sukarelawan mengutip sampah di sepanjang pantai Kuala Terengganu seperti kebiasaan mereka setiap pagi.

Katanya, pada mulanya mereka tidak menyedari kehadiran penyu tersebut kerana dari jauh hanya kelihatan pukat yang terdampar di tepi pantai.

“Apabila kami menghampiri kawasan itu, barulah nampak seekor penyu me­ronta-ronta kerana terperangkap dalam pukat berkenaan.

“Kami kemudian cuba mengeluarkannya dengan berhati-hati sebelum melepaskannya semula ke laut,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohammad Umbaidah berkata, dia dan isterinya yang menetap di Jalan Budiman di sini sudah menjadi sukarelawan Geng Plastik Hijau sejak 2017 dan menjadikan aktiviti mengutip sampah di pantai sebagai rutin harian.

Katanya, mereka biasanya tiba di pantai seawal pukul 7 pagi dan meluangkan masa kira-kira satu hingga dua jam membersihkan kawasan pesisir.

“Sepanjang mengutip sam­pah di pantai, pelbagai jenis barangan kami jumpa termasuk botol plastik, pelampung dari Vietnam, obor-obor­ serta jarum suntikan.

“Kami juga pernah menemukan seekor penyu mati termasuk tapak Tuntung bertelur tahun lalu,” katanya.

Katanya, walaupun mem­punyai sembilan anak dan 12 cucu, dia dan isterinya tetap bersemangat meneruskan aktiviti sukarelawan itu demi memastikan kebersihan pantai terus terpelihara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×