KUALA LUMPUR: Seorang guru penolong kanan kokurikulum di sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan peralatan sukan berjumlah RM22,728, enam tahun lalu.
Tertuduh, Sahnan Nuddin Abdul Razak, 47, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, guru itu didakwa mengemukakan satu invois yang mengandungi butiran palsu kepada pengetua sekolahnya dengan niat untuk memperdayakannya berhubung pembekalan peralatan sukan di sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada 26 Mei 2020.
Butiran palsu itu kononnya membabitkan pembekalan 80 unit palang lari berpagar, 44 unit jaket larian dan 44 unit seluar trek sedangkan kerja-kerja itu tidak pernah dilaksanakan oleh New Sport One Enterprise.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sahnan Nuddin turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu secara tidak jujur menggunakan dokumen tidak tulen Invois New Sport One Enterprise dengan jumlah sama untuk kerja-kerja pembekalan peralatan sukan yang sama sedangkan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu pada tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran sehingga kes selesai.
Peguam bela, Jason Wee Chuan Yuan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang guru yang telah mengajar hampir 15 tahun selain menanggung kakaknya yang mempunyai masalah kesihatan.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 16 April untuk sebutan kes. – UTUSAN










