SETIAP kali cuaca panas dan kering melanda negara, masyarakat kembali memberikan perhatian kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), amaran kesihatan dan risiko jerebu.
Pada masa sama, influenza terus menjadi cabaran kesihatan awam yang menuntut kewaspadaan. Kedua-dua keadaan ini bukan sekadar urusan perubatan, malah berkait rapat dengan amanah, tanggungjawab sosial dan penghayatan agama.
Islam mengingatkan manusia supaya menghargai nikmat kesihatan. Rasulullah SAW bersabda, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA dalam Sahih al-Bukhari, bahawa dua nikmat yang sering merugikan manusia ialah kesihatan dan waktu lapang.
Hadis ini mengingatkan kesihatan membolehkan seseorang beribadah, menuntut ilmu, menyara keluarga dan berbakti kepada masyarakat.
Mensyukuri nikmat tersebut bukan sekadar melalui ucapan tetapi perlu diterjemahkan dengan menjaga tubuh, mengamalkan gaya hidup sihat dan mendapatkan rawatan yang sesuai.
Kesihatan juga menuntut kita mengelakkan tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain.
Hadis riwayat al-Tirmidhi daripada Ubayd Allah ibn Mihsan RA pula menggambarkan betapa besarnya nikmat apabila seseorang menjalani hari dengan aman, tubuh yang sihat dan makanan yang mencukupi.
Ketika jerebu melanda, maklumat IPU oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) membantu masyarakat menilai tahap pencemaran dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Pendedahan kepada udara tercemar boleh menyebabkan iritasi mata, batuk dan kesukaran bernafas, terutama dalam kalangan warga emas serta individu yang mempunyai penyakit jantung atau pernafasan. Mengurangkan aktiviti luar ketika pencemaran meningkat dan mendapatkan rawatan apabila perlu merupakan langkah penting untuk memelihara kesihatan.
Prinsip pencegahan turut ditekankan dalam panduan Rasulullah SAW berkaitan wabak. Baginda melarang seseorang memasuki kawasan yang dilanda wabak taun atau meninggalkan kawasan tersebut untuk melarikan diri daripadanya.
Panduan ini memperlihatkan kepentingan mengawal penularan penyakit dengan mengambil kira keadaan dan nasihat pihak berkuasa kesihatan.
Dalam kehidupan harian, individu yang mengalami gejala influenza wajar berehat, menjaga kebersihan tangan dan mengurangkan hubungan rapat bagi melindungi orang sekeliling.
Vaksinasi apabila disyorkan, pemakanan seimbang dan rehat mencukupi turut menjadi sebahagian daripada ikhtiar menjaga kesihatan.
Tawakal juga tidak bermaksud mengabaikan usaha. Prinsip ini menunjukkan pergantungan kepada Allah perlu disertai tindakan yang munasabah. Masyarakat juga perlu mengelakkan penyebaran maklumat kesihatan yang tidak disahkan serta merujuk sumber rasmi untuk mendapatkan panduan yang tepat.
Sementara itu, masalah jerebu menuntut tanggungjawab bersama. Pembakaran terbuka, kebakaran hutan dan kegiatan industri antara sumber pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan.
Tanggungjawab tersebut perlu diterjemahkan melalui tindakan seharian. Keluarga boleh membantu warga emas mendapatkan ubat, majikan menyediakan persekitaran kerja yang selamat, manakala sekolah dan masjid menyampaikan maklumat kesihatan yang tepat.
Individu yang tidak sihat juga perlu mengambil langkah sewajarnya agar tidak mendedahkan orang lain kepada jangkitan.
Kesihatan bukan sekadar nikmat untuk dinikmati tetapi amanah yang wajib dipelihara. Menghadapi jerebu dan influenza memerlukan ikhtiar berasaskan bukti, kerjasama masyarakat serta dasar awam yang bertanggungjawab.
Penghayatan Islam pula menuntut umatnya menjaga diri, melindungi orang lain dan memelihara alam sekitar demi kesejahteraan bersama. -UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MONIKA @ MUNIRAH ABD RAZZAK
Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, ‘
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya











