MAHASISWA bidang sejarah di institusi pengajian tinggi (IPT) memikul tanggungjawab yang melangkaui dewan kuliah. Mereka bukan sekadar mempelajari peristiwa masa lalu, malah perlu memahami pengajarannya untuk menangani cabaran masa kini dan mendepani masa hadapan.
Sehubungan itu, latihan kepimpinan di universiti penting bagi melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran pengurusan, pemikiran strategik dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Bagi mengangkat sejarah gunaan dan sejarah awam dalam masyarakat, mahasiswa perlu diberi peluang menerapkan ilmu melalui pengalaman sebenar.
Sejarah gunaan meneliti punca sesuatu peristiwa, membandingkan tindak balas dan mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu untuk memperbaiki keputusan semasa.
Melalui penglibatan dalam persatuan akademik dan jawatankuasa pelajar, mahasiswa berpeluang membawa sejarah keluar daripada perpustakaan dan mendekatkannya kepada masyarakat.
Pengalaman menganjurkan kempen, pameran dan program pendidikan sejarah juga membolehkan mereka menyampaikan ilmu dengan pendekatan lebih kreatif dan mudah difahami.
Usaha ini membuktikan sejarah bukan disiplin yang terikat pada masa lalu, sebaliknya ilmu yang sentiasa berkembang dan relevan dengan kehidupan masyarakat.
Latihan kepimpinan turut memberikan pendedahan kepada pengurusan organisasi dan pembangunan komuniti kampus. Pengalaman mengendalikan persidangan, menyediakan kertas kerja serta menyusun program kebajikan pelajar memerlukan perancangan teliti dan komitmen tinggi.
Mahasiswa perlu menguasai kemahiran berkomunikasi, berdiplomasi, mengurus acara dan menangani konflik. Pengalaman ini membantu mereka memahami bahawa kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan tetapi turut melibatkan amanah, kebijaksanaan membuat keputusan dan kesediaan memikul tanggungjawab.
Dalam masa sama, mahasiswa sejarah perlu menguasai perkembangan teknologi digital. Pendekatan kemanusiaan digital membuka ruang untuk mengembangkan penyelidikan dan memperkenalkan sejarah kepada khalayak lebih luas. Antaranya termasuk pembangunan arkib interaktif, pendokumentasian sejarah lisan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengurusan persatuan.
Penguasaan teknologi perlu disertai penilaian kritis terhadap ketepatan maklumat supaya kemudahan digital tidak menjejaskan kesahihan sumber sejarah.
Keupayaan berfikir secara analitis turut menjadi kelebihan mahasiswa sejarah. Penelitian hubungan sebab dan akibat serta pendekatan sejarah kontrafaktual membantu mereka mempertimbangkan kemungkinan berbeza berdasarkan sesuatu keputusan atau peristiwa.
Kemahiran ini boleh diterapkan dalam perancangan program, penyelesaian masalah dan penilaian risiko. Dengan mempertimbangkan pelbagai kemungkinan sebelum bertindak, mahasiswa dapat membuat keputusan secara lebih teliti, rasional dan berpandangan jauh.
Justeru, usaha memperkasa kepimpinan mahasiswa sejarah merupakan pelaburan penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu, malah mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan dan kerjaya.
Universiti perlu menyediakan ruang latihan, bimbingan serta peluang memimpin agar potensi mereka dapat dikembangkan secara menyeluruh.
Gabungan kefahaman sejarah, kemahiran kepimpinan dan penguasaan teknologi mampu melahirkan generasi sejarawan yang kreatif, berwibawa dan peka terhadap keperluan masyarakat.
Mereka bukan sekadar pewaris ilmu masa lalu tetapi berupaya menyumbang kepada pembentukan masa hadapan negara berasaskan pengajaran sejarah dan kebijaksanaan membuat keputusan.-UTUSAN
MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Mahasiswa Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











