PETALING JAYA: Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong menggesa pihak berkuasa segera menangkap dan mendakwa ejen-ejen provokasi serta samseng yang menggugat keamanan dalam masyarakat.
Beliau berkata, tidak kira sama ada tindakan menghina al-Quran atau memijak simbol suci kuil, pelaku perbuatan itu wajib dikenakan tindakan tegas berlandaskan kedaulatan undang-undang.
Katanya, mana-mana pihak tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri dalam hal ini, termasuk membakar kenderaan atau mengancam keselamatan individu terbabit, biarpun tindakan undang-undang wajar diambil terhadap mereka yang mencetus provokasi terhadap kuil-kuil.
“DAPSY memandang serius insiden provokasi yang dicetuskan segelintir pihak baru-baru ini, khususnya tindakan mereka yang menanam sentimen kebencian terhadap penganut Hindu.
“DAPSY menggesa pihak berkenaan, terutamanya Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengambil tindakan sewajarnya termasuk penangkapan dan pendakwaan bagi menghentikan sebarang perbuatan yang menggugat keharmonian kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, DAPSY menyeru semua pihak kekal tenang dan tiada sesiapa selain pihak berkuasa berhak mengambil tindakan sendiri.
“Rakyat Malaysia mencintai keharmonian dan keamanan, bukannya seperti segelintir samseng yang pernah membuli dan mengepung peniaga kecil di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN










