PETALING JAYA: DAPSY Pahang menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan menolak kerjasama politik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh susulan kenyataannya yang mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan menggunakan retorik perkauman.
Timbalan Ketua DAPSY Pahang, Thui Zhi Yong berkata, seorang ahli politik yang bergantung pada retorik perkauman dan kebencian seperti Dr. Muhamad Akmal tidak boleh diberi ruang, malah terus mengikat Kerajaan Perpaduan dengan imej buruk.
“Hanya dengan mengambil langkah berani memutuskan hubungan dengan Dr. Muhamad Akmal, Kerajaan Perpaduan mampu bergerak lebih mantap serta mengembalikan keyakinan rakyat berbilang kaum terhadap pentadbiran yang kompeten, progresif dan berteraskan tata kelola baik.
“DAPSY Pahang mengecam keras kenyataan Dr. Muhamad Akmal yang menggunakan naratif perkauman untuk menghasut rakyat dan mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Kami juga mencabar beliau untuk meletakkan jawatan Exco Negeri Melaka serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zhi Yong, walaupun Dr. Muhamad Akmal menyeru secara terbuka agar UMNO bekerjasama dengan Pas, rakyat tertanya-tanya mengapa beliau masih memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri.
Katanya, jika benar Dr. Muhamad Akmal berkeras untuk keluar kerajaan, beliau wajar membuktikan kewibawaannya sebagai pemimpin muda dengan meletakkan jawatan Exco.
“Negeri Pahang merupakan salah satu negeri terawal membentuk Kerajaan Perpaduan dan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan nasional (PH-BN) di negeri itu berjalan lancar.
“Namun, tindakan Dr. Muhamad Akmal yang berulang kali menimbulkan krisis dan keresahan rakyat diibaratkan seperti nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.
Tambah Zhi Yong, misi Kerajaan Perpaduan adalah menjamin kestabilan politik serta mempertahankan kepelbagaian dan keharmonian, bukan membiarkan ahli politik ekstrem menggugat ketenteraman dan perpaduan negara.
“Meneruskan kerjasama dengan Dr. Muhamad Akmal hanya akan menimbulkan keraguan rakyat terhadap kestabilan dan keikhlasan kerajaan, sekali gus menggugat keyakinan rakyat.
“Tindakan samseng, hipokrasi, politik kebencian dan perpecahan yang dimainkan Dr. Muhamad Akmal membuktikan beliau seorang ahli politik gagal dan bercanggah dengan nilai teras yang diperjuangkan DAP,” katanya. – UTUSAN









