PETALING JAYA: Pemuda DAP Kebangsaan menggesa pihak berkuasa menghentikan siasatan terhadap agensi berita berhubung laporan isu pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan, Loh Wei Jian berkata, tindakan menyiasat media berkenaan boleh menjejaskan prinsip kebebasan media serta kedaulatan undang-undang dalam sebuah negara demokratik.
“Media adalah kuasa keempat yang berperanan sebagai semak dan imbang. Pengalaman lalu membuktikan bahawa tindakan terhadap media ketika pendedahan isu besar seperti 1MDB hanya mengundang persepsi buruk serta merosakkan keyakinan rakyat.
“Dalam konteks ini, tindakan untuk menjamin ketelusan adalah jauh lebih membantu untuk memulihkan kepercayaan awam berbanding daripada tindakan menyiasat pihak yang melaporkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wei Jian berkata, pihaknya menegaskan bahawa demi menjaga kredibiliti SPRM, Tan Sri Azam Baki wajar direhatkan sementara daripada tugas bagi memberi ruang kepada siasatan bebas, menyeluruh dan telus tanpa sebarang konflik kepentingan.
DAPSY turut menyatakan sokongan terhadap pendirian Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, supaya dakwaan yang dibangkitkan disiasat melalui jawatankuasa bebas yang tidak mempunyai kepentingan terhadap hasil siasatan.
“Kami berpendapat bahawa siasatan tersebut mestilah dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa yang anggotanya tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap hasil siasatan, serta bebas daripada sebarang konflik kepentingan.
“Isu yang dibimbangi rakyat bukan sekadar aspek pematuhan pengisytiharan saham yang dipegang, tetapi juga sumber kekayaan, integriti prosedur, serta prinsip akauntabiliti dalam perjawatan awam. Hanya siasatan yang benar-benar telus mampu memulihkan keyakinan terhadap institusi antirasuah negara,” katanya. – UTUSAN










