KUALA LUMPUR: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Malaysia menyatakan sokongan terhadap himpunan aman bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan ‘mafia korporat’ serta kempen Hands Off NGO, Ahad ini.
Dalam kenyataan hari ini, DAPSY berkata pimpinan dan ahlinya akan hadir pada himpunan yang dijadualkan berlangsung di hadapan Sogo, di sini, pada pukul 3 petang.
Menurut kenyataan itu, kehadiran berkenaan sebagai tanda solidariti bersama aktivis masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Hal ini seiring dengan pendirian tegas DAP sebelum ini yang telah berulang kali dan secara terbuka mendesak agar RCI Mafia Korporat ditubuhkan, satu pendirian yang juga telah dibangkitkan oleh Setiausaha Agung dan Pengerusi DAP,” menurut kenyataan itu.
DAPSY berkata, selaras pendirian rasmi parti, pihaknya akan terus membawa isu berkenaan kepada perhatian rakyat termasuk menerusi perhimpunan aman dan demonstrasi.
Menurutnya, sekiranya benar wujud dakwaan ‘tangan-tangan ghaib’ atau dalang yang melindungi amalan salah guna kuasa dan rasuah merentasi sektor negara, pendedahan menyeluruh perlu dilakukan tanpa pilih kasih.
“Penyiasatan yang telus menerusi RCI merupakan satu-satunya jalan untuk kita membersihkan serta memulihkan wibawa institusi-institusi penting negara,” katanya.
DAPSY turut menegaskan aktivis masyarakat sivil dan NGO perlu dilihat sebagai rakan kerjasama dalam agenda reformasi negara, bukannya dimusuhi atau dibungkam menggunakan undang-undang tertentu.
Katanya, pandangan dan kritikan aktivis sosial serta NGO perlu diterima selagi tidak mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan.
“Pandangan serta kritikan lantang mereka perlu diraikan dan diterima sebagai cermin renungan demi membina Malaysia yang lebih progresif dan inklusif,” katanya.
DAPSY berkata, sejarah membuktikan sokongan dan usaha NGO serta aktivis masyarakat sivil memberi pencerahan kepada rakyat dalam mendedahkan skandal besar negara, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Peranan NGO dan aktivis masyarakat sivil dalam memberi pencerahan adalah pasak utama kepada akauntabiliti negara dan dilihat sebagai pemangkin dalam menjayakan agenda Reformasi selaras dengan teras perjuangan Kerajaan Madani,” katanya.
Sehubungan itu, DAPSY sekali lagi menegaskan sokongan terhadap himpunan berkenaan atas prinsip kebebasan bersuara, keadilan sosial dan reformasi institusi serta menyeru rakyat yang menyokong prinsip tersebut untuk hadir menyatakan pendirian.
Perkembangan mengenai himpunan berkenaan turut dilaporkan media hari ini, dengan penganjur menyatakan ia akan berlangsung di hadapan Sogo pada pukul 3 petang Ahad ini. – UTUSAN











